Jika cinta sudah tiada dihati anda, tandanya
salah satu nikmat Allah telah tercabut daripada anda,sedangkan cinta adalah
salah satu nikmat teragung Allah terhadap hamba-hamba-Nya. Jika anda sudah
tidak dapat menghargai cinta, itu tandanya nilai kemanusiaan anda sudah mula
terhakis. Ketiadaan cinta dihati anda bakal merubah seluruh kehidupan anda.
Suburkanlah rasa cinta sebagaimana ia bermula. Saat bermulanya cinta adalah rasa teragung yang dirasai oleh setiap manusia. Inilah rasa yang tiada perkataan dapat menceritakannya. Tatkala itu cinta benar-benar menjadi motivasi yang terhebat. Andainya lautan api direntangkan ditenga-tengah, masih sanggup direnangi untuk menggambarkan betapa cinta begitu memotivasi dan perlu bukti.
Tiada lagi rasa teragung kecuali cinta. Cinta melambangkan kegemiraan, keseronokkan, kepuasan, kenikmatan dan semua rasa yang molek-molek dan sukar digambarkan dengan perkataan. Manusia yang beruntung adalah manusia yang meniti diatas cinta, memperoleh cinta untuk menyedari kedudukannya sebagai insan kerdil dibawah kebesaran ILAHI.
Cinta yang murni adalah pemangkin kepada kehidupan yang penuh bahagia. Sebagaimana ia bermula, cinta seharusnya berkekalan sedemikian rupa sehinggalah ke penghujungnya. Cinta tidak harus dinodai oleh perlakuan-perlakuan kejam, tidak bermoral dan juga tidak mencarik kesucian cinta itu sendiri. Andainya cinta boleh dikekalkan sebagaimana ia bermula, bahagia adalah jawapan untuknya.
Kejayaan sebuah perhubungan memang banyak bergantung kepada sudi dan murninya cinta yang dipermodalkan. Selama mana cinta dapat dipertahankan pada kedudukannya, selama itu bahagia menjadi penghias yang terindah. Apabila cinta sudah tidak dihargai, kehidupan akan berpaling ke tahap terendah. Jawapannya, derita tanpa penyudah.
Tanpa perlu mengeluarkan sebarang bayaran, cinta sudah ada dalam setiap insan. Cinta sudah dibekalkan sebagai modal termahal untuk dirasai dan diberikan kepada insan yang berhak. Meniti diatasnya bererti meniti diatas bahagia.
Tiada lagi satu rasa pun yang boleh memotivasi manusia kecuali rasa cinta dan bahagia. Dengan cintalah gunung kelihatan rendah untuk didaki. Dengan bahagialah lembah kelihatan cantik untuk dituruni. Dengan cinta dan bahagialah matlamat kehiduppan insan menjadi sempurna. Tanpa kedua-duanya, semuanya kelihatan tercabut dari sasaran.
Cinta ibarat cahaya, bukan pencetus masalah dan pembawa derita. Tak perlu berkorban kehormatan untuk cinta kerana cinta yang benar-benar suci dan semulajadi menjadikan pemiliknya bertambah matang, dewasa, beriman malah berperibadi mulia.
Cinta murni sentiasa mampu memandu manusia melepasi semua halangan demi kecemerlangan. Cinta telah membuatkan manusia bangkit membina kehidupan yang terbaik. Alangkah bodohnya oorang yang menjadikan cinta untuk membina kesusahan.
Jika cinta dijelmakan dalam diri, ia begitu memotivasikan. Jika diberi kepada seseorang, ia ibarat menghadiahkan sebukit emas untuknya. Jika dijelmakan dalam rumah tangga, jawapannya adalah kerukunan dan persefahaman yang berpanjangan. Begitulah seharusnya cinta....
[H.M. TUAH ISKANDAR]-Hatimu Untuk Siapa

No comments:
Post a Comment