Seorang lelaki datang ke rumah Umar bagi mengadu perihal isterinya yang suka berleter. Tatkala sampai, dia mendengar Umar sedang dileteri isterinya. Umar tidak menjawab walau sepatahpun. Lalaki itu beredar sambil berkata,
"Kalau begini keadaan Umar, seorang Amirul Mukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana pula dengan aku?"
Selepas itu Umar keluar dari rumahnya lalu terlihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya. Lelaki itu berkata,
"Wahai Amirul Mukminin, tujuan kedatanganku adalah hendak mengadu berkenaan perangai buruk isteriku yang suka berleter. Tadi aku baru sahaja mendengar isterimu juga begitu. Lalu aku berkata kepada diriku, kalau begini keadaan Amirul Mukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?"
Umarpun berkata kepadanya,
"Wahai saudaraku! Sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak keatasku. Sesungguhnya dia memasak makanan untukku,mengadun roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan keatasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan karenahnya."
Lelaki itu menjawab,
"Wahai Amirul Mukminin, demikian jugalah isteriku."
Umar berkata,
"Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya karenahnya tidak lama. Hanya seketika sahaja."
Rasulullah SAW sendiri mengingatkan,
"Janganlah seseorang yang beriman (lelaki) membenci seseorang yang (isterinya yang) beriman (perempuan), kerana walaupun ada satu perangainya ynag lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang dia suka." (Direkodkan oleh muslim dan Ahmad).
No comments:
Post a Comment